Permohonan pengampunan diraja oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan isu pengampunan itu adalah pendirian UMNO sebagai parti politik dan bukan pendirian kerajaan.
“(Permohonan pengampunan) Bukannya pendirian kerajaan. Ia tidak pernah dibawa ke kabinet. Jadi itu bukan pendirian kabinet, tetapi pendirian parti. Pengampunan ini dari segi proses, sesiapa sahaja selepas disabitkan kesalahan boleh memohon pengampunan. Itu adalah proses biasa, dan adil kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP meminta orang ramai menaruh kepercayaan kepada proses pengampunan itu, serta kebijaksanaan yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib.
Beliau didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sumber : Buletin TV3
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Najib Wajar Dibebas & Dilepaskan – Hakim Abdul Rahman
Panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini mungkin tidak berlaku adil terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ia mendengar dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan serta hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd apabila Najib tidak diwakili secara sah, kata hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti menolak rayuan Najib semalam.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam itu berkata, sehubungan itu beliau berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.
Dalam alasan penghakiman bertulis setebal 78 muka surat, beliau berkata nampak jelas baginya bahawa telah berlaku penyelewengan keadilan, bahawa bahawa pemohon (Najib) dinafikan daripada hak mendapat perbicaraan yang adil.
Beliau berkata tidak dinafikan bekas perdana menteri itu didakwa melakukan kesalahan yang amat serius, tetapi adalah penting orang tertuduh diwakili secara sah bagi menjamin wujudnya keadilan terhadap proses perbicaraan atau rayuannya.
“Keadilan bukan sahaja mengenai bersalah atau tidak bersalah orang yang dituduh. Ia juga tentang memberikannya perbicaraan yang adil. Orang yang dituduh harus merasakan bahawa dia telah menjalani proses perbicaraan yang adil.
“Jika dia tidak boleh dibicarakan secara adil terhadap pertuduhan yang dikenakan, dia tidak sepatutnya dibicarakan sama sekali. Menafikan tertuduh daripada perbicaraan yang adil adalah satu bentuk ketidakadilan yang serius,” katanya dalam penghakiman minoritinya.
Hakim Abdul Rahman berkata hanya dalam kes-kes luar biasa, perbicaraan atau rayuan tertentu seharusnya diteruskan tanpa representasi undang-undang, tetapi dalam kes ini, tiada apa-apa yang luar biasa telah ditunjukkan untuk mewajarkan pendengaran rayuan utama tanpa representasi undang-undang,” katanya.
Beliau turut memetik kes Sankar v The State [1994] UKPC 1, yang menunjukkan bahawa ketidakcekapan peguam tertuduh telah menghalangnya daripada memperoleh perbicaraan yang adil.
Hakim itu berkata dalam kes berkenaan, Lord Woolf dalam menyampaikan penghakiman Privy Council berkata “dalam keadaan melampau yang menyaksikan defendan dinafikan daripada perbicaraan yang adil, maka walaupun peguambelanya sendiri yang bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku, mahkamah rayuan mungkin perlu membatalkan sabitan itu dan akan berbuat demikian jika didapati berlaku ketidakadilan.
“Yang Mulia Hakim itu bercakap dalam konteks kuasa mahkamah rayuan dalam mendengar rayuan daripada keputusan mahkamah perbicaraan, tetapi saya tidak nampak sebab yang sah dari segi undang-undang mengapa ia tidak boleh digunakan untuk permohonan bagi semakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, kerana keseluruhan tujuan di sebalik Peraturan itu adalah bagi mencegah ketidakadilan kepada mana-mana orang yang tidak mempunyai remedi berkesan lain,” kata hakim itu.
Beliau berkata demikian sebgai merujuk kepada permohonan Najib untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Dalam penghakiman majoriti 4-1, empat hakim yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Abdul Rahman seterusnya berkata panel terdahulu juga tersilap apabila menghalang Datuk Hisyam Teh Poh Teik daripada menarik diri daripada bertindak sebagai peguam bela Najib.
“Oleh itu, dari segi undang-undang pemohon tidak mempunyai representasi undang-undang apabila rayuannya didengar dan ditolak pada 23 Ogos tahun lepas. Ia juga merupakan fakta yang tidak dipertikaikan bahawa ini adalah kali pertama pemohon menukar peguam cara dan peguam bela sejak perbicaraannya bermula di Mahkamah Tinggi pada 3 April 2019,” kata hakim itu.
Tambahnya, rekod Najib tidak menunjukkan bahawa beliau mempunyai tabiat menukar peguam, apatah lagi menukar peguam bagi tujuan melengahkan prosiding, justeru pemohon tidak boleh dipersalahkan kerana mendengar nasihat peguamnya.
Merujuk kepada permohonan penangguhan tiga hingga empat bulan perbicaraan rayuan utama oleh pemohon, Hakim Abdul Rahman berkata sehubungan itu ia perlu diterima sebagai dibuat dengan niat suci hati, dan bukannya muslihat atau strategi beliau untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama seperti yang didakwa oleh pihak pendakwaan.
“Apa yang penting perlu diambil perhatian secara keseluruhan ialah tiada dakwaan, terbukti atau sebaliknya, bahawa penangguhan tiga hingga empat bulan adalah satu muslihat atau strategi oleh pemohon bagi menangguhkan pendengaran rayuan utama,” katanya.
Semalam, Najib gagal dalam usaha terakhirnya untuk mendapatkan semakan terhadap sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, telah memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas.
Dengan keputusan semalam, Najib akan terus menjalani baki hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang.
Sumber : KMN