‘Kami Tidak Berdendam Dan Terima Sebagai Takdir’

| November 11, 2020 | 0 Comments

‘Kami Tidak Berdendam Dan Terima Sebagai Takdir’ | Kuala Terengganu: Keluarga arwah Siti Nur Surya, 19, tidak menyimpan dendam kepada sesiapa susulan pembunuhan anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Bapa arwah, Ismail Muda, 58, berkata, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, walaupun pahit untuk ditelan.

Ismail yang kelihatan sedih apabila berbicara mengenai peristiwa hitam itu berkata, sehingga kini keluarganya masih diselubungi perasaan sedih dan trauma dengan kejadian itu, walaupun ia sudah 11 hari berlalu.

“Kami tidak berdendam dan keluarganya (suspek) sudah datang ke rumah kami beberapa hari lalu.

“Tetapi, saya berharap biarlah kematian anak saya mendapat pembelaan sewajarnya dan pelaku menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Beliau memberi reaksi itu ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Badan Inisiatif Jalinan Nasional (BINA) Di bawah Pemerbadanan Pemegang Amanah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamzani di rumahnya di Kampung Beladau Kepong, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah BINA negeri yang juga Presiden/Pengasas Pertubuhan Perpaduan Landasan Keamanan Sejagat Malaysia, Datuk Seri Muhd Khairul Azhar Ali dan Pakar Motivasi dan Kaunseling BINA, Datin Dr Ira Rohaya Mohd Aziz.

Menerusi kunjungan itu, BINA menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas selain kata-kata semangat dan motivasi kepada keluarga terbabit.

Ismail berkata, dalam usaha melupakan sedikit demi sedikit tragedi menyayat hati itu, dia sehingga kini masih tidak berdaya untuk bermalam di rumahnya di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu iaitu lokasi pembunuhan berlaku.

Katanya, bayangan keadaan arwah anaknya yang tertiarap dalam keadaan menyayat hati masih jelas di pandangan mata menyebabkan mereka sekeluarga buat masa ini tidak berdaya untuk kembali menetap di rumah berkenaan.

“Sesekali adalah saya pulang untuk mengambil pakaian dan keperluan lain tetapi tidak bermalam,” katanya.

Keluarga terbabit masih dalam keadaan trauma dan meminta warganet agar menghentikan daripada membuat sebarang spekulasi dan sebaran berita yang tidak sahih yang boleh mengganggu emosi keluarga mereka.

Katanya, pada awal kejadian, pelbagai berita yang bercanggah daripada kejadian sebenar termasuk gambar yang tidak sepatutnya disebarkan tersebar sedangkan polis masih di peringkat awal siasatan.

“Semua itu memberi tekanan kepada bukan sahaja keluarga saya, malahan keluarga sebelah sana (suspek). Kami mohon warganet memahami dan menghormati keadaan kami,” katanya.

Justeru, Ismail menyeru orang ramai menghentikan perbuatan itu dan menyerahkan segala-galanya kepada polis.

“Biarlah polis yang membuat siasatan,” katanya.

Dalam kejadian Ahad minggu lalu, Siti Nur Surya ditemui adiknya, Siti Nurliyana Syuhada yang baru dari sekolah tertiarap di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.

Lebih menyayat hati apabila mayat wanita yang menjadi ‘peneman setia’ ibu, Zaini Musa, 55, yang menghidap kanser otak tahap tiga ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan tikaman selain putus pergelangan tangan.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *