Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Dilanggar Semasa Lintas Jalan | Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas di Jalan SS 9A/8, Sungai Way, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.27 malam.
Tidak Sempat Tekan Brek
Katanya, kejadian yang dipercayai berlaku sekitar pukul 5.30 petang tersebut membabitkan seorang pejalan kaki kanak-kanak warga asing berusia empat tahun dan sebuah kereta jenis Nissan X-Trail.
“Semasa kereta tersebut melalui lokasi kejadian, seorang kanak-kanak lelaki warga asing tiba-tiba melintas jalan raya menyebabkan kereta berkenaan tidak sempat menekan brek merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak tersebut meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semasa menerima rawatan.
Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selesai siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Saksi yang melihat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravndran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Lelaki Maut Tercampak Keluar Kereta Langgar Pokok
Lelaki Maut Tercampak Keluar Kereta Langgar Pokok | Seorang pemandu lelaki maut apabila tercampak keluar selepas melanggar sebatang pokok di bahu jalan berhampiran kebun bunga Gwee Song Pek, Kampung Sungai Jaya, Bukit Gambir di sini malam semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.35 malam mengenai kejadian kemalangan sebuah kereta jenis Proton Gen-2.
Sehubungan itu, komander operasi diketuai PBK II Mohd. Khalid Mohd Aris dengan kekuatan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kita dapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 terbabas melanggar sebatang pokok di bahu jalan dan difahamkan mangsa berusia 21 tahun memandu seorang diri dari arah Grisek ke Bukit Gambir.
“Mangsa kemudian telah tercampak keluar dari kereta semasa kemalangan dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Meninggal Dunia Sehari Sebelum Majlis Tunang.
Meninggal Dunia Sehari Sebelum Majlis Tunang. | Jitra: “Mereka sepatutnya melangsungkan pertunangan esok tapi tak sangka bakal tunang anak saudara saya meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi, ” kata Amri Ali, 32.
Amri adalah bapa saudara kepada Nurul Syifa Ahmad Shukri, 26, yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 20.7 Lebuhraya Utara Selatan, selepas lampu isyarat Asun, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun bakal tunang Nurul Syifa, Mohd Khairulnizam Abdullah, 25, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku jam 9.40 malam tadi.
TERBABAS DAN MELANGGAR POKOK
Kemalangan dipercayai berlaku Toyota Hilux dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum terlanggar pokok dan terbalik.
Amri berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu pada jam 10.30 malam selepas dimaklumkan rakan kerana arwah bekerja di bengkel kereta milik rakannya.
Katanya, namun dia tidak menyangka ketika itu mangsa bersama anak saudaranya yang juga anak kakak sulungnya.
“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang kerana Nurul Syifa bekerja di sana untuk pulang ke rumahnya di Kampung Penia, Mukim Malau, di sini.
“Saya difahamkan mereka singgah makan sebelum pulang ke rumah dan ketika kejadian hujan lebat.
“Segala persiapan untuk majlis pertunangan esok sudah dibuat tetapi tak sangka kejadian ini berlaku namun kami sekeluarga reda,” katanya yang menyifatkan arwah Mohd Khairulnizam seorang yang baik.
Katanya, sebaik mengetahui mengenai kemalangan itu, dia segera ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk melihat keadaan jenazah.
“Nurul Syifa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami kecederaan patah paha kanan serta luka di bibir serta telinga,” katanya.
HILANG KAWALAN
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu dari Pulau Pinang hendak menghala ke Changlun.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu yang ketika itu sedang bergerak terus di lorong kanan secara tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri lalu terlanggar pada beberapa batang pokok dan terbalik.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.
“Mayat dibawa ke Forensik Hospital Jitra dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber : HM