SANDAKAN – Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima lapan jahitan selepas cuba melawan untuk menyelamatkan diri daripada dibaham buaya di kawasan perumahan atas air Kampung Batu Putih di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu turut diselamatkan oleh bapanya yang berada berhampiran di lokasi.
Pembantu Hidupan Liar Sandakan Mozain Abbas berkata, kejadian berlaku ketika air sedang pasang dari laut dan menyebabkan kawasan perumahan atas air itu dinaiki air.
“Lokasi kejadian berlaku di laluan jalan kampung perumahan atas air di mana mangsa bersama rakannya sedang berenang ke luar dari rumah jiran menuju balik ke rumah mereka.
“Tiba-tiba kanak-kanak itu diserang dan dibaham di bahagian tangan namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan oleh bapanya, Ubing Markum, 39,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Akibat kejadian itu, Mozain berkata, mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa menerima lapan jahitan di lengan kanan dan cedera di bahagian bahu kanan serta kepala.
“Bagaimanapun, mangsa dalam keadaan stabil ketika dilawat di kediamannya dan tiada kecederaan lain yang serius dilaporkan,” katanya.
Tambah Mozain lagi, selain bertemu dengan bapa mangsa pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan turut membuat pemantaun di lokasi kejadian.
“Namun tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan dan ketika tinjauan dilakukan air telah surut sepenuhnya.
“Susulan kejadian itu, penduduk setempat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air pasang dan sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Warga Emas Cedera Digigit Buaya Ketika Ambil Wuduk
Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor buaya di sebuah kawasan paya berhampiran Padang Papan di Manir, petang Jumaat lepas.
Che Man Zakaria, 61, yang bekerja sebagai penangkap ikan darat berkata, kejadian pada jam 7.25 petang itu berlaku ketika beliau sedang mengambil wuduk menggunakan air paya untuk menunaikan solat Maghrib.
Dia baru sahaja selesai menangkap ikan darat di paya itu dan ingin solat Maghrib terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Ketika mengambil wuduk dalam keadaan mencangkung, tiba-tiba muncul seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter menyambar tangan kanannya.
menyebabkannya terjatuh ke dalam paya. Kawan-kawannya yang tidak sedar kejadian itu, bertanya kenapa dia terjun, dia cakap bukannya terjun tetapi ada buaya sambar tangan.
Katanya, setelah menggigit tangannya, reptilia itu terus menghilangkan diri di dalam paya dan tidak lagi timbul walaupun dia dan rakan-rakan cuba mencari haiwan itu.
Che Man berkata, dalam keadaan berlumuran darah, beliau menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.
Kejadian itu menyebabkan beliau terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan menerima 12 jahitan di tangan kanan.
Bapa kepada 10 anak itu memberitahu sebelum ini beliau pernah tersempak dengan buaya di kawasan paya berkenaan, namun kejadian pada petang Jumaat itu adalah kali pertama haiwan itu menyambarnya.
Katanya yang telah 15 tahun menangkap ikan darat sebagai sumber rezeki untuk menyara kelurga bahawa dia percaya ada lagi dua atau tiga ekor buaya di kawasan paya itu. Mungkin reptilia itu terlepas masuk dari Sungai Nerus akibat banjir Disember lepas.
Sumber: KMN