Kanak-Kanak Lelaki Lemas, Rakan Gagal Dikesan | Malang tidak berbau apabila niat tiga kanak-kanak lelaki untuk berseronok bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi masih belum dapat dikesan keberadaannya di Kampung Gelam, Tanjung Kling, Melaka petang semalam.

Kanak-Kanak Lelaki Lemas, Rakan Gagal Dikesan

Dalam kejadian sekitar 6 petang, mangsa yang meninggal dunia, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemukan bapanya yang cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak itu selepas tenggelam dalam tali air sedalam 1.2 meter.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.46 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, tiga kanak-kanak lelaki yang semuanya berusia sembilan tahun itu bermain di kawasan tali air yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kediaman mereka.

Bagaimanapun, keseronokan itu bertukar tragedi apabila Muhammad Fakrullah lemas, manakala pasangan kembarnya sempat menyelamatkan diri dan pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya.

Seorang lagi rakan mereka dikatakan berada dalam keadaan ketakutan dipercayai terkejut belum lagi dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan di kawasan tali air berkenaan selain pencarian di daratan membabitkan radius kawasan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Tambahnya, pada peringkat awal pihaknya dimaklumkan bahawa rakan kepada pasangan kembar itu juga mandi bersama, jadi pasukan bomba cuba membuat pencarian dalam air namun gagal menemuinya dan berdasarkan maklumat susulan yang diperoleh daripada mangsa yang selamat itu pula menyatakan rakannya tiada dalam air sebaliknya melarikan diri.

Oleh itu, pencarian pihaknya kini lebih terarah kepada mencari dan menyelamat di daratan.

Seramai 20 orang anggota bomba dan empat anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan sambil dibantu sekumpulan penduduk kampung.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kanak-kanak yang meninggal dunia itu ditemui oleh bapanya sendiri di dalam tali air dalam keadaan kakinya terbelit dengan tali plastik sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Kling untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Tambahnya, fokus utama bagi operasi SAR kini ialah mengesan seorang lagi mangsa di kawasan sekitar lokasi kejadian.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply