Kawalan Pergerakan Covid – 19. Ini Teguran Dr Maszlee Buat Rakyat Terharu. | Malam tadi ramai bersesak balik ke kampung halaman. Terkini ini teguran bekas Menteri Pendidikan, Dr Maslee buat rakyat terharu. Baca selanjutnya.

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Hari ini adalah hari pertama perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menitipkan sedikit pesanan.

Pertamanya untuk anak-anak sekolah dan anak siswa yang bercuti, penuhkan masa lapang dengan membaca buku. Ini adalah satu-satunya masa di mana kita diberikan kelapangan waktu untuk melihat semula buku-buku yang tidak sempat kita sentuh sebelum ini.

Kedua untuk ibu bapa, persiapkan anak kecil dan anak siswa anda dengan buku yang berkualiti. Penuhkan aktiviti mereka dengan aktiviti ilmu di rumah dan kawal pergerakan mereka. Ajari anak-anak semua untuk saling membantu mereka yang memerlukan di waktu kritikal seperti ini.

Ketiga untuk semua guru dan pensyarah, teruslah menyebarkan ilmu dan mendidik anak-anak kita melalui wasilah online agar keperluan intelek kita sentiasa terisi pada waktu kritikal sebegini.

Keempat, untuk semua rakyat Malaysia, saya faham tempoh waktu semalam agak huru hara baik di pihak Kerajaan mahupun warga masyarakat. Tetapi ini bukan masanya untuk kita saling tuding jari dan saling salah menyalahkan.

Namun tanggungjawab kita sebagai rakyat hari ini harus juga kita laksanakan. Patuhilah arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Hadkan pergerakan ahli keluarga, keluar dari rumah hanya jika perlu.

Tanggungjawab sebagai rakyat ini lebih berat untuk kita bantu selesaikan bersama-sama, kerana ianya akan menentukan sama ada virus Covid-19 ini akan berjaya kita kurangkan pada masa depan, atau tidak.

Ini adalah masanya untuk kita sebagai rakyat Malaysia, bersatu padu dan bersatu hati melawan wabak ini.

Masa depan anak-anak kita berada di tangan kita hari ini. Masa depan negara yang kita cintai ini, bergantung kepada apa yang akan kita lakukan secara bersama-sama selama dua minggu ini.

Oleh yang demikian saya dengan rendah diri memohon dan merayu anda semua, hentikan perselisihan dan bersama-sama membantu satu sama lain di waktu yang kritikal ini. Demi Tuhan, untuk semua perkara yang telah lepas, tidak ada gunanya lagi kita beradu tenaga dan saling salah menyalahkan.

Setiap ahli masyarakat, dari orang politik sehingga kepada anak kecil dan anak siswa, ibu bapa, pemimpin di kampung-kampung, pemimpin surau dan mesjid, tanpa mengira kaum dan agama, semua lapisan rakyat; harus bersatu padu dan bersatu hati.

Inilah masanya.

Sentiasa basuh tangan, jaga kebersihan. Elakkan keluar rumah jika tidak ada keperluan. Jarakkan diri daripada orang ramai. Elakkan bersalam tangan.

Tidak ada waktu yang lebih tepat lagi untuk Kita Jaga Kita.

YB Dr Maszlee Malik
Ahli Parlimen Simpang Renggam
18 Mac 2020

Share.

Leave A Reply