Kehilangan Peneroka Felda Terjawab, Dijumpai Mati Dalam Kereta | Misteri kehilangan seorang lelaki dipercayai peneroka Felda kini terjawab selepas dia dikatakan ditemui mati dalam kenderaan pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit, Ladang Geddes pada Sabtu, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, mangsa dikenali sebagai Md Jani Sulong, 66, ditemui maut oleh orang awam yang menyertai misi pencarian terbabit di dalam kenderaan jenis Ford Ranger di lokasi berkenaan lalu melaporkan kejadian di Balai Polis Ladang Geddes pada jam 11.30 pagi.
Siasatan lanjut telah dilakukan oleh pihak polis dan mendapati mangsa adalah individu yang dimaklumkan kehilangannya di balai polis sama oleh ahli keluarganya.
Selain itu, siasatan yang dijalankan tersebut mendapati mangsa sebelum itu terlibat dengan kemalangan pada Jumaat kira-kira jam 11 pagi semasa dia dalam perjalanan dari kedai hardware Ladang Gaddes menuju ke Felda Serting Hilir.
Menurut Chang Hook, mangsa dipercayai terbabas ke dalam kebun sawit dan melanggar pokok sawit. Akibat kemalangan berkenaan, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dipercayai sesak nafas.
Mayat mangsa dilaporkan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat esok susulan menunggu keputusan Covid-19.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Sinar Harian