Kejam. Dua Beradik Umur 5 Dan 7 Tahun Didera Ibu Kandung.

| July 4, 2020 | 0 Comments

Kejam. Dua Beradik Umur 5 Dan 7 Tahun Didera Ibu Kandung. | DUA beradik lelaki cedera di anggota badan dipercayai akibat didera ibu kandung dan teman lelakinya di sebuah bengkel dekat Permatang Tinggi, Bukit Mertajam.

Kedua-dua mangsa berusia lima dan tujuh tahun itu pulang ke rumah bapa saudara mereka pada jam 6 petang kelmarin di Taman Keenways, Bukit Mertajam, selepas 10 hari berada dalam jagaan ibu kandung.

Bagaimanapun, bapa saudara mereka yang bekerja sebagai eksekutif logistik berusia 39 tahun menemui kesan kecederaan seperti dipukul di beberapa anggota badan mangsa dan mengesyaki berlaku penderaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, bapa saudara mangsa membuat laporan polis berhubung insiden itu.

“Mangsa memaklumkan yang ibu kandung dan teman lelakinya bertindak memukul mereka dengan tangan, kayu dan tali pinggang dalam sebuah bengkel.

“Bapa saudara mereka terus membawa mangsa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, polis menahan ibu kandung mangsa berusia 33 tahun dan teman lelakinya berusia 28 tahun di perkarangan HBM pada jam 3.20 pagi semalam.

“Kedua-dua suspek yang datang ke hospital berkenaan dipercayai mahu melihat keadaan mangsa mengaku bahawa mereka memukul mangsa kerana degil,” katanya.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa tinggal bersama teman lelakinya seorang pemandu lori pada Mei lalu.

“Mangsa pula tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Disember hingga Mac lalu sebelum penjagaan diberikan kepada bapa saudara berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bapa saudara mangsa kemudian menghantar mangsa kepada ibu kandung mereka pada 24 Jun hingga 3 Julai lalu kerana perlu membawa ibunya untuk temujanji rawatan kesihatan disebabkan bimbang tidak ada siapa yang akan menjaga mangsa.

“Namun terkejut apabila anak saudaranya pulang didapati terdapat banyak kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan akibat didera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *