Kejam. Seorang Ibu Tergamak Biarkan Anaknya Berusia 5 Tahun Dipukul. | MELAKA: Perilaku seorang ibu yang sanggup membiarkan teman lelakinya memukul anak kandung sendiri menggunakan tali pinggang sehingga cedera berbalas, selepas kedua-dua mereka didenda RM8,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh secara bersama-sama seorang yang lain telah mendedahkan kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia lima tahun kepada bahaya sehingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah rumah di Champor Garden City, Banda Hilir dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu menolak adiknya yang berusia satu tahun kerana berebut permainan blok.

Tertuduh lelaki kemudian telah bertindak memukul mangsa berkali-kali menggunakan tali pinggang pada bahagian tangan, belakang badan dan kepala, sehingga meninggalkan kesan serta berdarah.

Tertuduh wanita kemudian mengambil gunting lalu menyerahkannya kepada tertuduh lelaki untuk menggunting rambut mangsa bagi menutup luka di kepalanya.

Kedua tertuduh yang diwakili peguam B.E. Lim merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh lelaki menghidap penyakit bipolar dan masih mendapatkan rawatan di hospital.

Tertuduh wanita pula hanya bekerja sebagai pelayan restoran dengan gaji RM80 sehari dan perlu menanggung dua anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat diberikan memandangkan mangsa adalah seorang kanak-kanak dan anak kandung kepada salah seorang tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM8,000 setiap seorang dan bon berkelakuan baik RM3,000 selama dua tahun bagi khidmat masyarakat selama 60 jam untuk enam bulan.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply