Keluarga Maut Kemalangan, Pertanyaan Anak Yang Terselamat Ini Buat Ramai SEDIH

| August 12, 2020 | 0 Comments

Keluarga Maut Kemalangan, Pertanyaan Anak Yang Terselamat Ini Buat Ramai SEDIH | “Tak sampai hati saya nak mengiyakan hanya dia terselamat,” kata Mohd Zakri Mat Isa, 37, bapa saudara kepada kanak-kanak sembilan tahun yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa tujuh sekeluarga termasuk ibu bapa dan adik perempuannya di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai dekat sini, semalam.

Mohd Zakri kerkata, anak saudaranya itu, Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul yang patah tangan kanan dirawat di Zon Kuning, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bertanya kepadanya jam lima pagi tadi di mana ibu bapa dan neneknya.

“Saya tak sanggup mengiyakan bila dia bertanya kepada saya “Pak lang, kiranya Haziq seorang sahajalah yang hidup?

“Kemudian saya tanya dia (Haziq) siapa memberitahunya, katanya ‘Cik Sara’ iaitu mak ciknya menyebut ibu bapa serta adiknya maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, hari ini.

Semalam, tragedi kemalangan maut di Jalan Keramat Pulai menghala ke Cameron Highlands mengorbankan tujuh daripada 10 mangsa apabila kereta yang dinaiki mereka merempuh treler di laluan bertentangan.

Dalam kemalangan itu, ibu bapa Muhammad Haziq Zikri iaitu Mohd Zairul Mat Isa, 34; ibunya Nuratiqah Abd Hamid, 30; adik perempuannya Nur Qaseh Damia, 4 serta neneknya Fatimah Mat Isa, 68 maut.

Turut terkorban, ibu saudaranya Hasliza Mahmud, 40 dan suaminya Zulkifli Shuib, 41 selain anak tiri Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Selain Muhammad Haziq Zakri, dua lagi yang terselamat adalah anak Hasliza dikenali sebagai Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan abangnya yang dikenali sebagai Apit berusia 16 tahun.

Mohd Zikri berkata, keluarga adik dan sepupunya itu jarang berjalan jauh untuk melancong dan selalunya memilih destinasi yang dekat dengan kampung mereka, sekitar Kedah atau Pulau Pinang.

Bagaimanapun kali ini mereka memilih bermalam semalaman di Cameron Highlands sehari sebelum kejadian, selain sempat juga berkunjung ke Pulau Pangkor dan bermalam di pulau itu.

“Malah kereta yang dinaiki mereka pun sebenarnya dipinjam dari kenalan.

“Saya tahu mengenai nahas itu kira-kira 7.30 malam semalam melalui kakak kepada Hasliza yang menyedari insiden itu melalui berita di media massa,” katanya.

Mohd Zakri berkata, ibunya yang turut maut dalam kemalangan itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh selain sempat bermalam bersama cucu-cucunya di rumah beliau serta rumah abangnya ketika menyambut Aidiladha yang lalu.

“Ibu juga kelihatan sentiasa ceria sejak kebelakangan ini. Ada juga dia meninggalkan pelbagai pesanan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, jenazah tujuh sekeluarga itu akan dihantar pulang ke Kampung Badlishah, Serdang, Kedah, selepas selesai proses bedah siasat dan akan disemadikan dalam satu liang.

Sumber : BH

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *