Keluarkan Parang Ketika Bertengkar, Pemandu Lori Ditahan | Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki terlibat dalam pertengkaran menggunakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di hentian rehat dan rawat (R&R) Gurun Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada 1 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberitahu, pihaknya pada kira-kira pukul 10 pagi, semalam mengesan satu video yang viral di Facebook memaparkan dua lelaki bertengkar dengan salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang.
Berlaku Perselisihan Faham
Katanya, semakan mendapati video itu diviralkan oleh pengguna Facebook bernama Eysz Seventhx.
“Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek yang merupakan pemandu lori berusia 35 tahun dengan seorang lagi lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger kira-kira pukul 6.15 petang, 1 Julai lalu.
“Kejadian itu berlaku ketika pemandu lori terbabit sedang memandu keluar dari hentian Bukit Kobah, Pendang (Lebuh Raya Utara-Selatan) sebelum pemandu Ford Ranger itu membunyikan hon kepada suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, perselisihan faham antara mereka berterusan sehingga ke sebuah stesen minyak tersebut kira-kira pukul 7.40 malam, hari sama.
Dakwa Diugut Pemandu Ford
“Suspek (pemandu lori) mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger sebelum pemandu lori terbabit mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya,” ujarnya.
Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini, manakala usaha mengesan pemandu Ford Ranger sedang dilakukan.
“Kita meminta saksi-saksi kejadian termasuk individu yang memviralkan video kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada polis termasuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” tambahnya.
Sumber : Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Lelaki Serang Isteri Bekas ADUN Slps Tuduh Anak Curi Barang Dlm Kedai | BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki berusia 41 yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala isteri kepada seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini kelmarin.
Wanita tegur budak perempuan curi
Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) malam tadi, tangkapan ke atas suspek dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah di Jalan Merbah, Bayan Lepas selepas berapa jam kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang itu.
“Berdasarkan laporan, suspek telah datang ke kedai pengadu dan bertanyakan siapa menuduh anaknya mencuri. Pengadu menjelaskan bahawa pengadu yang menuduh anak suspek cuba mencuri dalam kedainya.
Suspek ketuk kepala isteri bekas ADUN
“Kemudian telah berlaku pertengkaran mulut dan suspek telah mengetuk kepala pengadu menggunakan tangan,” katanya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan, isteri kepada bekas ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dipercayai diserang seorang lelaki di sebuah kedai runcit.
Kejadian berlaku selepas isterinya yang merupakan seorang guru menegur seorang pelajar perempuan yang disyaki mencuri barangan makanan di dalam premis berkenaan.
Sumber: Kosmo
Baca Juga Artikel Ini :
Seorang Pegawai Maritim Cedera Slps Kepala Ditetak Parang Oleh Nelayan Vietnam | SEORANG pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu cedera parah di kepala selepas ditetak dengan parang oleh nelayan Vietnam, kira-kira 11.30 pagi pada Rabu.
Nelayan bertindak agresif untuk lari dari tahanan
Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul, 27, sedang menjalankan operasi di perairan bersama 18 lagi pegawai serta anggota APMM di lokasi 148 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, kejadian berpunca apabila pihaknya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang dinaiki seorang tekong dan 15 awak-awak pada pagi Rabu kerana menceroboh perairan negeri.
Beliau berkata, ketika menjalankan pemeriksaan, nelayan berkenaan telah bertindak agresif dengan menyerang dan mencederakan mangsa serta anggota APMM yang lain.
“Kesemua kru bot telah mengambil tindakan nekad dengan menyerang pegawai serta anggota APMM Terengganu yang berada dalam bot mereka.
“Turut cedera dalam kejadian itu ialah tekong dan dua lagi awak-awak nelayan Vietnam. Kedua-duanya cedera di bahagian lengan kiri dan kedua-dua belah paha akibat terkena tembakan,” katanya.
Bot tidak miliki lesen sah
Khairulanuar berkata, mangsa termasuk nelayan Vietnam yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan segera.
Ujarnya, hasil siasatan mendapati bot berkenaan tidak memiliki permit, lesen yang sah serta dokumen pengenalan diri.
“Kesemua nelayan asing telah ditangkap di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah,” katanya.
Sumber: Majoriti