Baru dua hari dibuka kepada orang ramai, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) merekodkan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal berhampiran Tol Bukit Teratai menghala Kuala Lumpur.

Kemalangan Pertama Lepas Lebuhraya SUKE Dibuka, Ini Puncanya..

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian itu berlaku sekitar pukul 2.45 petang Ahad.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai berlaku apabila keretaPerodua Myvi yang dipandu seorang lelaki telah berhenti di lorong kecemasan untuk tujuan mengambil gambar di lebuh raya berkenaan.

“Kereta itu dipandu oleh seorang lelaki telah berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur dengan tujuan untuk melihat pemandangan sekitar dari atas lebuhraya dan mengambil gambar.

“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat di bawah kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan. Individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

“Berhenti di lorong kecemasan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikompaun sehingga RM300,” katanya lagi.

Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer (km) bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang itu mula dibuka pada 16 September lalu.

Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply