Kembali Ke Arena Politik, Rafizi Ramli ‘Disambut’ Saman Oleh Bekas CEO Sapura Energy. Kepulangan Rafizi Ramli ke arena politik disambut saman oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin iaitu bekas CEO Sapura Energy. Baca seterusnya.

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menyifatkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sapura Energy Berhad (SEB) Tan Sri Shahril Shamsuddin telah menempah tiket nombor satu untuk menyamannya di mahkamah sebaik beliau aktif semula dalam politik.

Rafizi yang memenangi jawatan kedua tertinggi dalam PKR baru-baru ini akan mempertahankan kenyataan yang dibuatnya berkaitan SEB.

“Tahniah kepada Tan Sri Shahril Shamsuddin, bekas bos Sapura yang mengambil tiket nombor satu berjumpa saya di mahkamah sekembalinya saya ke dunia politik.

“Insya-Allah saya akan pertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah,” kata Rafizi di Twitter.

Writ saman daripada Shahril itu diterima sekitar pukul 11.30 malam ketika menghadiri satu majlis di Kuantan, Pahang pada 11 Mei lalu.

Katanya, writ itu untuk mengesahkan Tetuan Zul Rafique & Partners telah memfailkan saman terhadapnya di mahkamah berhubung kenyataan mengenai desakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyelamatkan SEB.

Tambah Rafizi, sebelum ini beliau telah memenangi kesemua 14 kes yang dilalui di mahkamah.

“Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah untuk melindungi kepentingan awam.

“Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah (dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan) demi mempertahankan wang rakyat. Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Setakat ini, saya menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap saya di mahkamah,” kata Rafizi penuh yakin.

Rafizi akan diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh.

Sebelum ini media melaporkan, Shahril dilaporkan tersinggung dengan dakwaan Rafizi yang dilemparkan terhadapnya.

Antaranya termasuk dakwaan bahawa pemegang-pemegang saham majoriti Sapura Energy dipimpin Shahril memperolehi sejumlah RM1.33 bilion yang mana RM1.1 bilion adalah gaji dan selebihnya bayaran lain dan dividen.

Rafizi mendakwa bayaran itu tiga kali ganda RM440 juta dividen yang syarikat itu bayar kepada pemegang saham lain.

Sumber: MalaysiaGazette

Share.

Leave A Reply