Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mengetahui keputusan perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansur berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Keputusan Perbicaraan Kes Rosmah Akan Diketahui Hari Ini

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mengetahui sama ada beliau akan dibebaskan atau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka mengumumkan keputusan itu pada pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, Rosmah telah memfailkan permohonan di saat-saat akhir supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan ke atas kes itu berikutan dakwaan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes beliau yang disediakan pihak lain dan ditularkan di media massa dan elektronik, 26 Ogos lepas.

Difahamkan Mahkamah Tinggi akan mengendalikan permohonan itu terlebih dahulu, hari ini.

Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah, 70, diarahkan membela diri ke atas tiga pertuduhan dihadapinya setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Rosmah berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara Peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan.

Lima belas wartawan, seorang daripada setiap organisasi media terpilih, diberikan pas untuk berada di dalam mahkamah sementara pas untuk mengikuti prosiding menerusi satu pautan video di bilik lain telah dikeluarkan kepada 35 wartawan lain termasuk daripada media asing.

Dengan kes berprofil tinggi ini yang menarik perhatian ramai di dalam negara dan peringkat antarabangsa, mahkamah juga menyediakan 60 pas jurugambar dan jurukamera video daripada setiap organisasi media yang ditempatkan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply