Kerana Pintu, Lelaki Acu Pisau Pada Jiran Warga Emas

| November 3, 2020 | 0 Comments

Kerana Pintu, Lelaki Acu Pisau Pada Jiran Warga Emas | Berang apabila dirinya dituduh merosakkan pintu menyebabkan seorang lelaki mengamuk dan mengacukan pisau ke arah seorang wanita warga emas yang juga jirannya dalam kejadian di Lahar Tambun, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa berusia 62 tahun melihat pintu hadapan kediamannya rosak akibat ditendang ketika keluar rumah pada 7.30 pagi.

“Anak saudara mangsa memberitahu bahawa dia ternampak pintu berkenaan rosak akibat ditendang seorang jiran lelaki yang tinggal berhampiran kediaman mangsa.

“Mangsa kemudian terus ke rumah suspek untuk bertanya namun lelaki itu mengamuk dan mengacukan pisau ke arahnya. Keadaan itu menyebabkan mangsa ketakutan lalu terus melarikan diri dan masuk semula ke dalam rumahnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa sebelum itu yang sedang tidur terdengar bunyi seakan orang menendang pintu kira-kira 4 pagi namun mengabaikannya kerana menganggap ia datang dari rumah lain.

“Mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya. Susulan itu, tangkapan dibuat terhadap suspek berusia 32 tahun dan mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, ” katanya.

Noorzainy berkata, polis turut merampas pisau yang digunakan suspek untuk mengugut mangsa.

Suspek kini ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *