Kereta Baru Guna 6 Bulan Akhirnya Hilang Di Pusat Servis. | MELAKA – Seorang lelaki berputih mata selepas keretanya yang dihantar ke sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh di sini hilang ketika sedang diselenggara.

Mangsa, Tay Han Sin, 49, berkata, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu selepas dia menghantar kereta model Lexus RX300 F Sport untuk penyelenggaraan kali kedua di tempat sama.

Menurutnya, beberapa jam selepas itu dia dimaklumkan bahawa keretanya telah dibawa keluar oleh seseorang selepas selesai menjalani penyelenggaraan.

“Saya terkejut apabila pusat servis memaklumkan saya telah mengambil kereta, sedangkan saya baru hendak berbuat demikian.

“Semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali telah mengambil kunci berkenaan,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan pusat servis berkenaan di sini, hari ini.

Ujarnya, susulan itu satu laporan polis telah dibuat, namun dia mendakwa terkilan dengan tindakan pusat servis berkenaan yang tidak banyak membantu menyelesaikan kes tersebut.

“Saya hanya sempat menggunakan kereta tersebut selama enam bulan saja, saya tetap perlu membayar ansuran kereta lebih RM2,000 sebulan meskipun kenderaan itu gagal dikesan sehingga kini,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply