Kereta Rempuh Tembok Konkrit, Remaja 16 Tahun Maut | KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu bapanya terbabas sebelum merempuh tembok konkrit di susur keluar Ketereh, Lebuh Raya Perol di sini malam tadi.

Keadaan MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki tiga beranak selepas merempuh tembok konkrit di susur keluar Ketereh, Lebuh Raya Perol dekat Kota Bharu malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.20 malam itu, Nurul Balkqis Nafisah Khairul Fazli, 16, yang duduk di tempat penumpang belakang MPV jenis Toyota Estima meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Kedua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, dalam nahas itu, bapa mangsa, Khairul Fazli Janedi, 45, mengalami luka ringan manakala ibunya, Norlela Ramli, 44, cedera dan luka pada bahagian muka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, tiga beranak yang berasal dari Taman Bercham Jaya, Ipoh itu menaiki MPV berkenaan melalui Lebuh Raya Perol dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, Khairul Fazli yang memandu di lorong kanan lebuh raya dipercayai tidak perasan tembok konkrit penutup jalan yang berada di sebelah kanan jalan akibat faktor pencahayaan yang gelap.

“Insiden itu menyebabkan MPV berkenaan merempuh tembok berkenaan sehingga kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, kemalangan itu mengakibatkan kepala Nurul Balkqis Nafisah dipercayai terhantuk kuat pada pintu kanan MPV tersebut dan mayat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, Perak dibawa Ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.

“Ibu dan bapa mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut. Siasatan mendapati, nahas itu dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu MPV mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER : Kosmo!

Share.

Leave A Reply