Guru wanita tersepit hampir 30 minit di dalam kereta yang remuk selepas terbabas merempuh pokok dan tiang elektrik di Jalan Rumah Awam Kemuning, Hutan Percha, dekat sini, petang kelmarin.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari sebuah sekolah di Pulau Sebang menuju ke rumahnya di Taman Bukit Tampin, Kuala Ina, Tampin, Negeri Sembilan.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila Toyota Vios dipandu mangsa terbabas sendiri lalu melanggar pokok dan tiang elektrik hingga patah dan menghempap keretanya.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu hampir 30 minit sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

“Wanita itu kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh ambulans bagi rawatan lanjut. Keadaan terkini mangsa dilaporkan stabil,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber : Harian Metro

 

 

 

Share.

Leave A Reply