RAWANG – Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah patah kaki selepas berdepan detik cemas terbabas dan berpusing melanggar sebuah trak pikap di Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum susur keluar Lembah Beringin, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 8.48 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Avanza dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai terbabas dan berpusing melanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dinaiki seorang lelaki tempatan.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa pemandu Toyota Avanza berusia berusia 47 tahun telah tersepit di bahagian hadapan pemandu, manakala pemandu Hilux berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamadul Ehsan, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba pada pukul 8.53 pagi menggunakan peralatan khas dan telah mengalami kecederaan parah patah kaki serta bahagian bahu kiri.
“Sejurus itu, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Slim River menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Wanita Sarat Mengandung Terlibat Dlm Kemalangan Kereta Bertembung
Kajang: Wanita sarat mengandung terselamat manakala seorang lelaki cedera selepas kereta mereka bertembung di Jalan Kampung Sungai Lalang, Semenyih di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kemalangan itu pada jam 7.02 pagi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba dalam tempoh lapan minit dan mendapati dua kereta bertembung iaitu sebuah kereta Honda City dipandu seorang wanita berusia 35 tahun yang sedang sarat mengandung dan sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 30-an.
“Mangsa wanita tidak mengalami kecederaan manakala mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
Sumber: KMN