Dua remaja lelaki maut manakala dua rakan mereka cedera parah apabila kereta yang dinaiki terbabas, sebelum terjunam ke dalam longkang besar di kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan menghala ke Johor Bahru, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kemalangan jam 2.05 pagi itu membabitkan kereta jenis Proton Wira yang membawa empat individu.
Bagaimanapun katanya dua lagi mangsa iaitu penumpang belakang, seorang wanita yang berusia 15 dan seorang lelaki berumur 16 tahun cedera.
Menurutnya, emalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, yang juga pemandu berusia 18 tahun melanggar pembahagi jalan di lorong kanan.
Tambahnya, kemudian kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan selepas melalui selekoh.
Katanya lagi dalam satu kenyataan, kereta itu kemudian masuk ke dalam longkang besar yang dipenuhi air lalu tenggelam,.
Menurut Rupiah, pemandu dan penumpang maut di lokasi kejadian dan mayat mangsa dikeluarkan pihak bomba.
Jelasnya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia berumur 18 tahun. Manakala dua penumpang belakang yang cedera telah berjaya keluar dari kereta terbabit.
Ujarnya, penumpang lelaki patah peha kanan, manakala perempuan cedera bahagian kepala dan paru-paru. Mereka mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Abdul Jamal berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.49 pagi.
Sumber: Berita Harian