Kereta Terbabas Dan Langgar Pokok, Lelaki 51 Tahun Maut Ketika Cuba Larikan Diri Dari Polis | Orang yang bersalah sememangnya takut untuk berhadapan dengan kebenaran. Pelbagai helah dan kaedah pastinya akan digunakan untuk melepaskan diri. Dengan harapan tidak akan tertangkap oleh pihak berkuasa.
Namun begitu, lain pula jadinya pada seorang lelaki tua yang telah berusia 51 tahun ini. Dia dikatakan maut akibat kereta yang dipandunya telah terbabas dan melanggar pokok. Dipercayai lelaki tersebut cuba untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak polis di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang.
Kejadian itu telah berlaku pada jam 4.05 pagi, ahad. Mangsa dipercayai maut ditempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, kereta peronda polis (MPV) telah membuat rondaan cegah jenayah di AMJ Tanjung Minyak dan telah terserempak dengan sebuah kereta proton waja pada jam 3.30 pagi berada dalam keadaan yang mencurigakan. Mereka mula mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti.
Kereta tersebut mula memecut laju dan dikejar oleh kereta peronda polis. Polis telah menggunakan siren dan pembesar suara untuk mengarahkan pemandu kereta tersebut berhenti. Namun proton waja itu terus memecut menghala ke Muar, Johor dari AMJ Ayer Molek. Disebabkan keadaan yang hujan ketika itu, pemandu tersebut telah hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu jalan.
Suspek telah mati tempat kejadian dan disahkan oleh pasukan perubatan, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut masih lagi dilaksanakan untuk mengenal pasti punca kemalangan dan unit anjing pengesan (K9) turut digunakan untuk mengesan barangan yang telah dibuang daripada kereta proton waja itu sebelum kemalangan berlaku.
Semakan pihak polis mendapati suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau yang melibatkan samun dan pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Sumber : Berita Harian