Seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di kepala selepas kereta dipandu bapanya terbabas dalam longkang dalam kemalangan di Jalan Liter D U19/D, Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.36 petang kelmarin.

Katanya, seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis Proton Wira telah terbabas ke dalam longkang.

“Kemalangan tersebut melibatkan pasangan suami isteri tempatan berusia lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Morni, kanak-kanak tersebut mengalami cedera parah di bahagian kepala, manakala pasangan tersebut hanya cedera ringan.

Jelasnya, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Sumber : Kosmo

 

 

ARTIKEL LAIN  YANG BOLEH DIBACA

Lelaki M4ut Kereta Terbabas Masuk Dalam Parit

LUMUT – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang besar di Taman Desa Permai, Jalan Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung, pagi kemarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 38 tahun dan memandu seorang diri meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.05 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta Perodua Kancil telah terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira tujuh meter dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  

Menurutnya, pihaknya menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jelasnya, pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply