Kereta U-Turn Mengejut, Pembonceng Motosikal Cedera Parah | Kuala Lumpur – Polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi yang telah melarikan diri selepas terbabit dalam kemala­ngan dengan sebuah motosikal di Bandar Tun Hussein Onn, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, penunggang motosikal cedera ringan, manakala pemboncengnya me­ngalami kecederaan parah dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya me­nerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 5.16 petang semalam selepas penunggang motosikal tampil ke balai polis.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian motosikal yang ditunggang kedua-dua mang­sa dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn menghala ke Jalan Suada­mai.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta telah membuat pusingan U dan motosikal ditunggangi mangsa gagal mengelaknya kerana keadaan jalan yang basah serta hujan renyai.

“Akibat pelanggaran itu, mang­sa (pembonceng) mengalami kecederaan dalaman dan telah dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut, manakala penunggangnya hanya mengalami kece­deraan ringan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Zaid berkata, pemandu kereta berkenaan telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

“Siasatan mendapati kecuai­an berpunca daripada kereta yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan kemalangan berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.

“Saksi kejadian diminta tampil berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Dinesh atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, bapa mangsa (pembonceng motosikal) menerusi beberapa hantaran di laman Instagram memaklumkan, pihaknya terkilan dengan tindakan pemandu tersebut yang me­larikan diri selepas kejadian.

Dia yang dikenali sebagai Syu­bailiaziz meminta orang ramai mengesan pemandu Myvi dengan nombor pendaftaran VAE 3843.

Pada masa sama, dia turut berkongsi beberapa keping gambar keadaan terkini anaknya dirawat sebuah hospital.

Sumber : Kosmo 

Share.

Leave A Reply