Kes Budak Dihempap Tiang Elektrik, Ini Respon TNB | Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menyiasat kejadian menimpa seorang kanak-kanak lelaki yang maut ketika bermain di kawasan simpanan sementara tiang elektrik di Changlun Kedah semalam.

TNB dalam kenyataannya hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan bersimpati dengan keluarga dua lagi kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Jitra.

“TNB sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa terlibat.

“Kami sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri tapak kerja dan menyentuh barang binaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak meninggal dunia manakala dua lagi tidak sedarkan diri selepas dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Changlun.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai berusia 11 tahun dengan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku ketika tiga mangsa bermain berhampiran tiang elektrik yang dilonggokkan di tepi jalan sebelum ia terjatuh dan menghempap mereka.

TNB turut memaklumkan pihaknya telah menghantar wakil untuk menziarahi keluarga mangsa dan memberi bantuan yang sewajarnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan keluarga mangsa,” ujarnya.

Sumber : Kosmo

Baca juga artikel ini :

Dihempap Tiang Elektrik, ‘Ini’ Keadaan Terkini Dua Kanak-Kanak Terlibat.. | Menurut Nor Zuraidah Zainon, 29, keadaan anaknya, Wan Aliff Danish Wan Mohd Naim, 10, masih kritikal tetapi stabil malah dia sedang ditidurkan ketika ini bagi membolehkan dia berehat.

Jelasnya, doktor memaklumkan ada pendarahan pada paru-parunya, luka di bahagian hati serta tulang bahagian mukanya retak sikit.

Nor Zuraidah berkata, anaknya masih tidak sedarkan diri akibat dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun, semalam.

Menurutnya, anak sulung dari tiga beradik itu sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini manakala sepupunya, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, masih dirawat di Hospital Jitra.

Nor Zuraidah berkata, anaknya sedar pada tengah hari tadi sebelum dia ditidurkan semula untuk proses pemulihan pada paru-parunya.

Ketika menceritakan semula kejadian itu katanya, dia dan suaminya, Wan Mohd Naim Wan Fadzilah, 30, baru pulang berniaga di Pekan Changlun dan nampak Wan Aliff Danish ketika itu sedang makan nasi di rumah mereka yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Ujarnya, lepas makan nasi, dia keluar bermain dengan kawan dan sepupunya tetapi dalam 10 minit kemudian,  dia dimaklumkan kejadian itu berlaku.

Jelasnya, sebelum itu memang tak sedap hati tetapi benda dah jadi dan berharap supaya anaknya sembuh sepenuhnya.

Dalam kejadian jam 5.33 petang semalam, tiga kanak-kanak dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, mengalami kecederaan parah di kepala dan muka manakala Wan Aliff Danish Wan Mohd Naim, 10, masih kritikal dan Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, patah paha.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bedah siasat terhadap jenazah Muhammad Aqil Wafiq dilakukan pada jam 10 pagi tadi di Jabatan Forensik HSB di Alor Setar

Beliau berkata, dua lagi mangsa masih dirawat di HSB dan HJ ketika ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian tiga kanak-kanak terbabit sedang bermain di atas longgokan tiang elektrik berkenaan dan kejadian berlaku apabila sebatang kayu penyendal tiang itu patah menyebabkan tiang itu bergolek dan menghempap tiga kanak-kanak itu.

Katanya, bagaimanapun kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply