Kes Bunuh Rakan Baik. Polis Siasat Jika Ada Pihak Lain Terlibat

| November 3, 2020 | 0 Comments

Kes Bunuh Rakan Baik. Polis Siasat Jika Ada Pihak Lain Terlibat | Polis masih menyiasat sama ada pelajar perempuan tingkatan enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, melakukan jenayah itu bersama individu lain atau berseorangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun dipercayai melakukan jenayah itu bersendirian hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

“Setakat ini , kita tidak boleh sahkan sama ada suspek ada rakan jenayah yang lain atau sebaliknya kerana siasatan masih di peringkat awal.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Mengenai motif kejadian pula, Mohd Adli berkata, hasil siasatan awal masih menjurus kepada perselisihan faham namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan memanggil beberapa saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan termasuk ahli keluarga suspek dalam masa terdekat.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya juga negatif, ” katanya.

Mohd Adli turut meminta netizen tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kerisauan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berdegil menyebarkan berita tidak benar.

Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Isnin dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *