Kes Bunuh Wanita Somalia Selesai Dalam Tempoh 24 Jam – Polis | Polis berjaya menyelesaikan kes membabitkan wanita Somalia yang dipercayai dibunuh selepas bergaduh di Ampang, di sini dalam tempoh 24 jam dengan penahanan seorang pembantu restoran warga Iraq, malam tadi.

Kes Bunuh Wanita Somalia Selesai Dalam Tempoh 24 Jam - Polis

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan kira-kira pukul 11.20 malam, di tepi Jalan Ampang Putra, Ampang, di sini, pada Ahad.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Pihak Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini, kes ini telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek dan mangsa adalah rakan sekerja di sebuah restoran makanan Arab.

Beliau memberitahu, polis masih menyiasat punca pergaduhan yang menjurus kepada pembunuhan itu.

“Suspek sudah sembilan tahun tinggal di Malaysia bersama keluarga,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan positif COVID-19 dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin.

Perintah reman itu katanya, dikeluarkan di Mahkamah Majistret Ampang Jaya.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabit salah.

Dalam pada itu, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan segera.

Sumber : Astro Awani

Share.

Leave A Reply