Kes Pecah Cermin Kereta & Ugut Wanita. Ini UPDATE Terkini. | Kota Bharu: Penjawat awam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memecahkan cermin kereta dan melakukan ugutan terhadap seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, Kubang Kerian, Khamis lalu.

Tertuduh, Mohd Nasir Husain, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh mendatangkan ketakutan kepada Wan Nur Athirah Wan Kamal, 35, dengan cara mengetuk cermin kenderaan mangsa menggunakan senjata tajam iaitu scapper hingga berlubang dan retak menyebabkannya mangsa ketakutan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan khianat terhadap harta milik mangsa sama dengan memecahkan cermin sebelah pemandu kereta Perodua Axia menggunakan sebatang scapper, menyebabkan mangsa kerugian RM300.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian, di sini, pada 5.45 petang Khamis lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariyani Mohd Aamin.

Terdahulu, Siti Erdabayu memohon jaminan setimpal ditawarkan terhadap tertuduh, manakala Ariyani memohon jaminan minima kerana tertuduh yang bertugas di sebuah hospital hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply