Kes Pukul Sebab Hutang, Polis Buru Lelaki Digelar ‘Botak’ | Ipoh – Polis sedang mengesan suspek kes pukul seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Cik Zainal dekat Chemor di sini selepas gambar berkaitan kejadian itu tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu selepas adik lelaki mangsa membuat laporan polis mendakwa abangnya berusia 44 tahun dipukul lelaki dikenali sebagai ‘botak’.

Katanya, pengadu berusia 41 tahun itu mengetahui kejadian menimpa mangsa pada pukul 6.30 pagi, semalam melalui kumpulan WhatsApp keluarga.

“Adik mangsa tidak mengetahui punca kejadian tersebut namun mengesyaki lelaki itu dipukul disebabkan berhutang dengan suspek yang juga rakannya.

“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami kecederaan di belakang kepala dan lebam di muka serta badan,” katanya di sini hari ini.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply