Kes Samun Stesen Minyak, Lima Suspek Berjaya Ditahan | Petaling Jaya – Polis menahan lima suspek lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dengan kejadian samun berkumpulan yang berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Kampug Batu, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lima individu terbabit berusia lingkungan umur 28 hingga 42 tahun telah ditahan secara berasingan melalui beberapa serbuan hasil daripada risikan yang dijalankan.

“Pada 19 Disember lalu lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, telah berlaku satu kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata di stesen minyak Shell Mastiara, Jalan Kampung Batu, Kuala Lumpur.

“Ketika kejadian mangsa sedang mengisi minyak kereta sebelum didatangi seorang lelaki warga tempatan bertindak menarik rantai leher emas mangsa sambil mengacukan sebilah parang ke arah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Eng Lai berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa terkejut dan bertindak melarikan diri dan suspek gagal menarik rantai leher emas mangsa.

“Namun suspek berjaya melarikan dompet milik mangsa dan hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek yang terlibat dipercayai seramai empat ke lima orang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau gelap nombor pendaftaran PDX9929.

“Susulan kejadian itu, serbuan pertama telah dibuat pada 21 Disember 2021 dimana seramai dua orang lelaki tempatan telah ditahan manakala pada 28 Disember 2021 satu lagi serbuan telah dijalankan dimana seramai tiga lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Jelasnya, pihak polis juga telah berjaya merampas dua bilah parang, sebuah motokar, tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah dompet milik mangsa, tiga keping kad touch and go dimana salah satunya adalah milik mangsa.

“Turut dirampas satu unit spanar dan satu unit ‘allen key’ yang diubahsuai, disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan serta beberapa dokumen.

“Hasil siasatan awal mendapati Modus Operandi kegiatan ini telah melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata dan telah mensasarkan mangsa yang menaiki kereta mewah serta memakai barangan kemas yang sedang mengisi minyak di stesen minyak,” tambahnya.

Eng Lai berkata, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bermula 20 Disember 2021 sehingga 28 Disember 2021 bagi membantu siasatan lanjut.

“Kini kesemua suspek diserah kepada IPD Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.

“Susulan dari operasi yang dijalankan ini, pihak Polis Kuala Lumpur telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan di Kawasan Kuala Lumpur dan dua lagi kes di kawasan Selangor,” ujarnya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply