‘Kita Dah Buktikan Kerajaan Umno Stabil’-PM. | PETALING JAYA: Tidak timbul isu kerajaan lebih stabil jika Umno tidak memerintah negara, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

‘Kita Dah Buktikan Kerajaan Umno Stabil’-PM.

Ismail dipetik Bernama sebagai berkata, kerajaan semasa adalah kerajaan Umno yang mendapat sokongan rakan parti lain.

“Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri Umno dan disokong oleh rakan-rakan parti lain,” katanya selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di ibu negara hari ini.

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata, formula untuk kestabilan politik di Malaysia dan semua negeri adalah Umno tidak lagi memerintah.

Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) terlalu menuntut beberapa pilihan raya negeri (PRN) diadakan kini disebabkan mereka mahu menunjukkan parti itu kembali diterima rakyat.

“Formulanya, Umno tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang Umno mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (Umno) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah, kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya selepas menghadiri sebuah program di Johor Bahru, semalam.

Sementara itu, Ismail berkata, kestabilan politik negara juga dibuktikan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang pada 13 Sept 2021.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ini semua bagi memastikan politik negara dalam keadaan stabil, jadi tiada isu seperti yang dikatakan MB (Sanusi) itu,” kata Naib Presiden Umno itu.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply