Kluster Sivagangga. Kedai Makan Tiada Rekod Pelanggan Dan MySejahtera.

| August 3, 2020 | 0 Comments

Kluster Sivagangga. Kedai Makan Tiada Rekod Pelanggan Dan MySejahtera. | Kedai makan di Napoh, Jitra di Kedah yang menjadi lokasi bermulanya penularan Kluster Sivagangga tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan tidak merekodkan kehadiran serta suhu badan pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus memberi cabaran kepada petugas di Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri turut dalam menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat.

Menurutnya, sehingga jam 12 tengah hari, sebanyak 425 orang sudah disaring.

“Daripada jumlah ini, 21 kes dikesan positif Covid-19, 362 negatif dan 42 masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster PUI Sivagangga ini merupakan sebuah kluster penularan di dalam negara yang berpunca daripada kes import (iaitu kes indeks bagi kluster ini).

“Selain Kluster ini, terdapat juga kluster-kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) yang dilaksanakan dari 10 Jun hingga 23 Julai 2020.

“Kluster-kluster itu ialah Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster PUI Shirala,” katanya.

Untuk rekod, kes indeks Kluster PUI Sivagangga membabitkan seorang pemilik kedai makan yang pulang ke Malaysia dari India dan diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (Home Surveillance Order – HSO) namun dia tidak mematuhi syarat-syarat perintah berkenaan.

Mengulas perkembangan terkini Kluster Sivagangga, Noor Hisham berkata, satu kes baharu dilaporkan dalam kluster ini (iaitu kes ke-9000), di mana beliau adalah pelanggan tetap kedai makan itu.

“Dia sudah menjalani saringan Covid-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai lalu dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif. Namun, pada 31 Julai dia mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

“Hanya satu hari kemudiannya, iaitu selepas pembabitan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes memaklumkan bahawa dia merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif Covid-19,” katanya.

Susulan itu, katanya, individu terbabit dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Tambahnya, mengambil iktibar daripada kes ini, KKM mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif Covid-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, KELUARGA, KESIHATAN, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *