Kluster Sivagangga: TEMCO Dilaksana Di Kampung Kuala Sanglang Dan Kampung Tanah Timbul

| August 9, 2020 | 0 Comments

Kluster Sivagangga: TEMCO Dilaksana Di Kampung Kuala Sanglang Dan Kampung Tanah Timbul | Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Perlis bermula hari ini hingga 31 Ogos ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Khas Menteri pagi ini supaya penularan Covid-19 menerusi Kluster Sivagangga dapat dikawal sepenuhnya.

Menurutnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah berkenaan, penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu selain orang luar juga tidak dibenarkan masuk kecuali pembekal barangan perkhidmatan penting seperti makanan.

“Penguatkuasaan perintah ini membabitkan 872 penduduk dari 191 rumah. Penduduk masih boleh bergerak di dalam kawasan berkenaan dan ketua keluarga dibenarkan untuk ke kedai membeli makanan dan keperluan harian lain.

“Restoran di kawasan itu juga masih boleh beroperasi namun hanya menjual makanan berbungkus dan semua premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang sehingga 31 Ogos ini,” katanya dalam sidang media Covid-19 di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ismail berkata, semua agensi kerajaan dan institusi pendidikan termasuk tadika, sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi akan ditutup sepenuhnya.

Katanya, aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat bukan Islam juga akan dihentikan sepanjang tempoh penguatkuasaan manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan ujian calitan kepada semua penduduk.

Dalam pada itu, Ismail turut mengingatkan bahawa hanya Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan Akta 342 dan tindakan kerajaan negeri yang membuat pengumuman mengenai PKPD ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Akta 342 ini adalah akta Kerajaan Persekutuan dan tiada kerajaan lain kecuali Sarawak yang boleh menguatkuasakan akta berkenaan. Jika kerajaan negeri melaksanakan akta itu tanpa persetujuan Kerajaan Persekutuan ia tidak boleh dilaksanakan.

“Polis juga tidak boleh mengenakan kompaun kepada mereka yang melakukan kesalahan dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selagi akta itu tidak diwartakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *