Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 kira-kira enam tahun lalu.

Koperal, Bekas Ketua Balai Didakwa. 'Ini' Sebabnya..

Tertuduh, Faudzi Mat Desa, 58, yang hadir bersama ahli keluarga membuat pengakuan tersebut selepas jurubahasa membacakan kesemua pertuduhan ke atasnya di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga dan keempat, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Daerah Mahang didakwa menerima rasuah berjumlah RM250 untuk setiap pertuduhan manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM150.

Faudzi didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing pada 15 April 2016, 12 Mei 2016, 8 Jun 2016 dan 11 Mac 2016 kira-kira jam 7.15 petang, 5.36 petang, 9.35 malam serta 12.51 tengah hari.

Untuk pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Makan Serk Heang di Pekan Mahang, Kulim manakala untuk pertuduhan keempat dilakukan di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.

Selain empat pertuduhan tersebut, Faudzi turut berdepan satu lagi pertuduhan rasuah bersama bekas Ketua Balai Polis Mahang, Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim, 62.

Kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama menerima rasuah berjumlah RM550 di sebuah restoran dekat Taman Mutiara, Sungai Kob dalam daerah Kulim kira-kira jam 8.43 malam pada 1 Julai 2016.

Koperal, Bekas Ketua Balai Didakwa. 'Ini' Sebabnya..

Ahmad Ibrahim yang kini sudah pun bersara, turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan menerima suapan berjumlah RM300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.56 petang pada 25 Julai 2016 di Kedai Makan Cucur Udang di tepi jalan Sungai Kob menuju ke Mahang dekat Sungai Karangan, Kulim.

Kesemua wang suapan tersebut didakwa diterima daripada seorang lelaki berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk mereka tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang individu lain.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.

Hakim menetapkan kadar jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin untuk semua kes dihadapi Faudzi manakala Ahmad Ibrahim dikenakan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mereka difahamkan membayar wang jaminan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 1 September depan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply