KPM Tunggu Laporan Penuh Libat Kes Buli Baru | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikatakan sedang menunggu laporan daripada pihak berkaitan berhubung kejadian terbaharu kes buli melibatkan lima pelajar sekolah menengah berasrama di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

KPM Tunggu Laporan Penuh Libat Kes Buli Baru

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon, tindakan lanjut akan diambil selepas menerima laporan lengkap daripada pihak terlibat.

Jelas beliau, Pada peringkat ini adalah lebih baik kita menunggu laporan terperinci daripada pihak berkenaan. Apa-apa tindakan kena berpandu kepada apa yang sebenarnya berlaku.

Sebelumnya, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua mengalami detik menyakitkan dalam hidupnya apabila dikurung dalam bilik selama kira-kira dua jam dan dibelasah pelajar senior di sebuah sekolah menengah berasrama di Muadzam Shah.

Difahamkan dalam kejadian pada Jumaat lalu itu, mangsa bersama empat lagi rakan sebayanya dipukul, ditumbuk, disepak dan dikenakan ‘hukuman’ rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Ibu bapa pelajar terbabit telah membuat laporan polis pada Isnin lalu dan anaknya mengalami kesan lebam di bahu, paha, bawah mata, lengan dan juga kesan rotan di punggung.

Berhubung cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama, Hang Soon berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut.

Ujarnya, pihak kementerian akan mengkaji pandangan tersebut dengan lebih mendalam.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply