KRI Nanggala-402 Ditemui Terbelah 3, 53 Kelasi Disahkan Meninggal | Kapal selam milik tentera Indonesia, ‘KRI Nanggala-402’ dilaporkan telah dijumpai di dasar laut Perairan Bali namun ia dikatakan dijumpai dalam keadaan terbelah tiga serta ditemukan di kedalaman 835 meter.
Menurut Ketua Angkatan Laut (KSAL), Laksamana Yudo Margono yang dipetik dari Kompas, berdasarkan visual dari kenderaan operasi jarak jauh (ROV) yang dikendalikan oleh MV Swift Rescue milik Singapura, terdapat beberapa bahagan kapal dilihat masih kukuh namun sebahagiannya mengalami keretakan kecil.
Pada awalnya, Kompas melaporkan bahagian kapal telah ditemukan oleh KRI Rigel menggunakan alat multi beam echo sounder, namun pada jam 1 tengah hari waktu tempatan, pasukan pencarian berhasil mengenal pasti posisi jatuhnya kapal selam tersebut sebelum mengenal pasti kedalaman penemuan tersebut pada kedalaman 835 meter.
Yudo menjelaskan bahawa berdasarkan visual yang dipaparkan, terdapat beberapa bahagian lain dilihat berselerak dan tidak terlalu jelas kerana keadaan pagi yang tidak terlalu terang namun dia juga menyatakan bahawa dengan penemuan kapal tersebut yang sedalam itu agak sukar untuk pihaknya menemukan kru kapal yang masih hidup.
Kompas turut melaporkan bahawa pasukan pencarian juga menemukan baju keselamatan MK 11 yang diangkat menggunakan penyepit oleh ROV. Ulas Yudo, biasanya MK 11 tersebut telah disimpan di dalam kotak dan hanya digunakan ketika mereka (kru kapal) berada dalam keadaan kecemasan. Jika sut tersebut telah dilihat berada di luar, ia bermakna para kru kapal pastinya berdepan dengan keadaan genting tambahnya kepada media tempatan.
Beberapa kemungkinan boleh berlaku berdasarkan penemuan tersebut antaranya, kru kapal berkemungkinan tidak sempat memakai sut keselamatan atau ketika hendak memakai, keadaan menjadi tidak stabil ketika itu.
Berdasarkan bukti sahih yang dipaparkan, Komandan TNI Marsekal Hadi Tjahjanto kini telah mengumumkan bahawa kapal selam KRI Nanggala-402 telah tenggelam dan kesemua kru kapal tersebut diisytihar meninggal dunia.
Sumber: Kompas