Langgar Belakang Treler, Pemandu Dan Kelindan Lori Maut

| September 22, 2020 | 0 Comments

Langgar Belakang Treler, Pemandu Dan Kelindan Lori Maut | Alor Gajah: Pemandu lori membawa barangan plastik dan kelindannya maut dalam kemalangan dengan dua treler di Kilometer 221.6 Lebuh Raya Utara-Selatan di Pedas/Linggi menghala bandar ini awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, pemandu lori, Lai Wan Peng, 52, dan kelindannya, Muhammad Dehya’ Al Qalbi Sharuddin, 27, terbunuh selepas merempuh belakang treler bermuatan papan yang sebelum itu merempuh belakang treler membawa habuk soya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pemandu treler bermuatan papan, Mohd Zulkefli Mohd Nordin, 33, cedera di kepala manakala kelindannya, Rossanizam Md Saudi, 43, patah kaki.

Bagaimanapun, pemandu treler bermuatan habuk soya yang berusia 29 tahun tidak cedera.

Beliau berkata, ketika kejadian, treler bermuatan habuk soya dalam perjalanan dari Klang ke Serkam, Jasin manakala treler bermuatan papan dari Pahang ke Muar, Johor dan lori bermuatan barangan plastik dari Pulau Pinang ke selatan.

“Siasatan awal mendapati treler bermuatan habuk soya berhenti di antara lorong kiri dengan lorong kecemasan kerana rosak,” katanya di sini hari ini.

Arshad berkata, pemandu treler bermuatan papan gagal mengelak dan terlanggar belakang treler berkenaan, pada masa sama, Wan Peng gagal memberhentikan kenderaan lalu terlanggar belakang treler membawa papan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan habuk soya tumpah di lebuh raya dan mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Rembau, katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala Mohd Zulkefli serta Rossanizam dirawat di wad hospital berkenaan.

Beliau berkata, cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *