Langgar SOP Lagi, Penganjur Program Najib Razak & Ismail Sabri Dikompaun RM20k | Penganjur lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak di Selandar, dikenakan kompaun RM20,000, hari ini.

Langgar SOP Lagi, Penganjur Program Najib Razak & Ismail Sabri Dikompaun RM20k

Perkara itu disahkan pegawai kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Jasin yang mengeluarkan kompaun berkenaan di Medan Selera Selandar, di sini.

Katanya, kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ia sekali gus menunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dan parti politik yang melanggar SOP sepanjang PRN Melaka berlangsung.

“Kompaun berjumlah RM20,000 dikeluarkan kepada penganjur. Kompaun diberikan kepada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Dewan Undangan Negeri (Dun) Asahan.

“Ia (kompaun) dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP, iaitu tiada penjarakan fizikal,” kata pegawai kesihatan itu yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu, usaha media mendapatkan kenyataan daripada Ketua PDM berkenaan gagal apabila beliau memilih untuk mengunci mulut.

“Tak apalah, nanti saya kena lagi,” katanya ringkas, sebelum meninggalkan medan selera itu.

Isu SOP yang terlalu ketat dibangkitkan hampir semua parti yang bertanding dalam PRN Melaka, termasuk BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sejak tempoh kempen bermula Isnin lalu.

Terdahulu, Najib tiba ke medan selera itu sekitar 11.20 pagi untuk menjamu selera, disusuli ketibaan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, kira-kira 12 tengah hari.

Turut hadir, calon BN di Dun Asahan, Fairul Nizam Roslan dan calon BN di Dun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Fairul Nizam berdepan cabaran enam penjuru di Dun Asahan daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (PH); Dhanesh Basil (PN) serta tiga calon Bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Ab Hamid dan Mohd Akhir Ayob.

Ismail hari ini mengadakan lawatan di beberapa lokasi sekitar Melaka, bermula dengan bersarapan di Kota Melaka, bergerak ke Sungai Udang, Masjid Tanah, Selandar dan Rim di Jasin, sebelum dijangka pulang ke Kuala Lumpur.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply