Lantik DS Zahid Sebagai TPM. Ini Komen Tun M Pada PM. | KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

“Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

“Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

“Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara hari ini.

Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember lalu.

Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan bekas Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu, ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.

Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.

Sumber : BH

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Sany Hamzan akan bawa bukti penyelewengan RM600b

KUALA LUMPUR: Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini saya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu. Saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

“Saya juga akan hadir dengan bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku,” katanya

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taman Templer berkata setakat ini pihaknya hanya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

“Sekiranya tiada kesalahan atau penyelewengan berlaku, kita terima sahaja tetapi setakat ini kita musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN).

“Disebabkan itulah kita membuat laporan polis dan menuntut siasatan dibuka,” katanya.

Sany berkata, pihaknya juga akan ke Istana Negara esok bagi menyerahkan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

SPRM dalam laporan media semalam, dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden BERSATU juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf lapuk untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply