Polis sedang mengesan seorang pembuli jalan raya yang meludah kenderaan seorang wanita di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa di sini, hari ini.

Lelaki Baran, Ludah Kereta Orang Diburu Polis

Insiden dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati lelaki terbabit yang memandu sebuah PERODUA Myvi terhadap cara pemanduan mangsa yang turut memandu kenderaan jenis sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata lelaki berusia 20-an itu dikatakan mengekori kenderaan mangsa sebelum memotong dan memberhentikan kenderaannya secara mengejut.

Jelasnya, supek yang tidak dikenali itu kemudian turun daripada kenderaannya sambil memarahi mangsa sebelum meludah pada kenderaan mangsa.

Ujarnya, sehubungan itu, mangsa yang berusia 26 tahun tampil membuat satu laporan polis pada jam 2.30 petang tadi.

Amihizam berkata pihak polis sudah merakam keterangan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang dipandunya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian ini, justeru pihaknya perlu merakam keterangan suspek untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply