Lelaki Bunuh Dan Makan Ibu Dituntut Hukuman Penjara 15 Tahun

| April 21, 2021 | 0 Comments

Lelaki Bunuh Dan Makan Ibu Dituntut Hukuman Penjara 15 Tahun | Seorang anak bukan sahaja bertindak kejam dengan sanggup membunuh ibunya sendiri malah dia juga bertindak luar kawalan dengan memakan daging ibunya. Hal ini menyebabkan pihak pendakwa menuntut hukuman penjara selama 15 tahun terhadap suspek.

Madrid: Pihak pendakwaan di Sepanyol menuntut hukuman penjara selama 15 tahun terhadap seorang suspek yang bertindak mencekik ibunya, sebelum mencincang dan memakan ibunya, dalam satu kejadian kira-kira dua tahun lalu.

Pendakwa raya menuntut tempoh hukuman itu selepas suspek, Albert SG yang dibicarakan di mahkamah di Madrid, hari ini di atas pertuduhan membunuh dan menghapuskan mayat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, suspek yang juga dikenali sebagai ‘Kanibal Ventas’, didakwa bertengkar dengan ibunya yang berusia 69 tahun, di flat yang didiami mereka di Ventas dalam kejadian pada tahun 2019.

Ketika pergaduhan, Albert mencekik ibunya sebelum mengheret mangsa ke bilik tidurnya.

Suspek kemudiannya menggunakan gergaji dan dua pisau dapur untuk memotong mayat mangsa.

“Suspek juga didakwa telah memakan mayat mangsa selama 15 hari dan menyimpan beberapa bahagian lain di dalam bekas plastik dalam peti ais dan sekitar rumahnya,” menurut kertas pertuduhan.

Suspek juga meletakkan cebisan mayat ibunya ke dalam beg plastik sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurut laporan media tempatan, pegawai polis ketika memberikan keterangan di mahkamah, hari ini berkata, mereka memasuki kediaman Albert sebelum suspek mengakui telah memakan sebahagian daging ibunya mentah-mentah manakala bahagian lain dimasak atau diberikan kepada anjing.

Laporan media sebelum ini menyatakan suspek ditahan pada 23 Februari 2019 selepas polis ke rumahnya untuk bertanya mengenai ibunya yang dilaporkan hilang oleh kenalan.

Polis kemudian bertanya kepada suspek sama ada mangsa berada di dalam rumah, sebelum suspek memberikan jawapan ‘ya’ dan membenarkan mereka masuk.

“Kami menemui satu lokasi kejadian jenayah yang mengerikan,” kata seorang pegawai polis yang enggan dikenali.

Menurut polis, suspek pernah mempunyai masalah ketagihan dadah.

Pihak pendakwa raya meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara 15 tahun selain menuntut suspek membayar $110,000 (RM453,271) sebagai pampasan kepada abangnya.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , , , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *