Lelaki Buruan Polis Mati Ditembak Selepas Cuba Serang Polis Menggunakan Parang | Seorang lelaki yang diburu oleh pihak polis sejak sebulan yang lalu ditembak mati oleh pihak polis berhampiran dengan pondok persembunyiannya di dalam kawasan hutan di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit, Bayan Lepas, awal pagi Ahad.

Lelaki Buruan Polis Mati Ditembak Selepas Cuba Serang Polis Menggunakan Parang

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu dikesan di kawasan berkenaan sebelum sepasukan anggota polis tiba untuk menangkapnya, kira-kira sekita jam 3.30 petang dan suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang menggunakan sebilah parang.

Beliau berkata, untuk mempertahankan diri, anggotanya terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

Akibat daripada tembakan itu, suspek yang tidak bekerja telah rebah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 30 meter dari pondok yang menjadi tempat tinggalnya.

Menurutnya, suspek yang diburu oleh pihak polis tinggal di kawasan hutan itu bagi mengelak dikesan susulan melakukan kes pecah rumah dan dan curi di sekitar daerah Barat Daya.

Tambahnya, polis menemui sebilah parang, pemutar skru dan juga peralatan menghisap dadah di dalam pondok berkenaan.

Suspek telah menjadi buruan polis sejak dari sebulan lalu bagi membantu siasatan atas pelbagai kes termasuklah kes pecah rumah dan curi namun suspek dilaporkan menghilangkan diri.

Semakan mendapati suspek yang masih dikehendaki pihak polis mempunyai 22 rekod membabitkan kes jenayah dan narkotik.

Kamarul Rizal berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply