MELAKA – Suspek yang cuba melarikan sebuah bas sekolah dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Malinja di sini petang semalam direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 2 Februari itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Mazana Sinin bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 27 tahun berjaya dicekup oleh orang awam sebelum ditangkap semula oleh pasukan polis pada pukul 6.26 petang semalam

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek merupakan seorang penganggur dan berasal dari Kapar, Selangor.

Katanya, hasil soal siasat, suspek yang masih bujang mendakwa dia bertindak melarikan bas sekolah tersebut kerana ingin pulang ke Kapar.

“Hasil semakan lanjut suspek mempunyai rekod jenayah cuba melarikan kereta pada tahun 2013 dan disiasat mengikut Seksyen 379A serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Hasil soal siasat suspek memberitahu dia melarikan bas sekolah terbabit kerana ingin pulang ke Kapar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan trafik di Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja bertukar kecoh apabila seorang lelaki cuba melarikan sebuah bas sekolah sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

Menurut ahli keluarga pemilik syarikat bas berkenaan, Zaidi Basri, 42, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh bapa saudaranya yang melihat kenderaan tersebut dilarikan suspek dari tempat parkir di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 5.30 petang.

Pengadu kemudian telah mengekori bas tersebut sebelum melihat ia terbabas ke longkang di bahu kiri jalan dan suspek berjaya dicekup dengan bantuan orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Lelaki Warga Emas Terkejut Pencuri Tertidur Dalam Rumah

JEMPOL – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati lelaki yang terbaring di tengah rumahnya di Taman Tanjung Bahau, di sini, pagi semalam, rupa-rupanya pencuri yang terlelap dan tidak sempat membawa lari hasil barang curi.

Mangsa, Sin Kong Men, 66, berkata, ketika kejadian dia seperti biasa bangun dari tidur dan mahu keluar untuk minum pagi seperti biasa di kedai berhampiran kira-kira pukul 6.15 pagi.

Bagaimanapun menurutnya, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki terbaring dan seekor anjing berwarna hitam bukan miliknya sedang mengejut lelaki itu dengan menarik bahagian lengan bajunya.

“Saya ingat kawan anak, tapi bila lihat ruang tamu bersepah dan ada beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet jenama Samsung berada bersebelahan dengan lelaki berkenaan, semuanya barangan di dalam rumah ini.

“Saya syak lelaki ini juga telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet almari berkaca di ruang tamu sehingga mabuk dan tertidur. Malah, saya dan anak-anak cuba kejutkan, tapi tidak juga sedar.

“Tak lama kemudian polis sampai dan ambil masa hampir 30 minit untuk kejutkan dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tanjung Bahau, di sini, hari ini.

Ujar Kong Men lagi, dia sudah menetap di kawasan berkenaan lebih 12 tahun lalu, namun, kejadian itu baru kali pertama dialaminya dan anjing yang dibelanya juga tidak menyalak seperti kebiasaannya jika ada individu tidak dikenali datang ke rumah.

Menurutnya, kemungkinan anjing berwarna hitam milik lelaki berkenaan telah menyebabkan anjing di rumahnya tidak menyalak seperti biasa.

“Ketika kejadian lebih 10 orang ada di dalam bilik masing-masing kerana semuanya pulang bagi sambutan Tahun Baru Cina dan anak saya pulang pukul 4 pagi juga tidak nampak lelaki berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.

“Semasa masuk ke dalam rumah suspek dipercayai telah minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur. Semasa pengadu bangun tidur awal pagi, pengadu dapati suspek berbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri.

“Malah, suspek juga merupakan individu dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply