Seorang lelaki yang ditahan kerana melarikan diri bersama kekasihnya sejauh lebih 70 kilometer sebelum ditahan polis sebelum ini didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.

Lelaki Didenda RM 3,000 Lepas Lari Dari Polis

Majistret, Hidayatul Syuhada Samsuddin turut memerintahkan agar tertuduh yang mengaku bersalah dikenakan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya beliau gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Danish Izzuddin Mohd Sharpie, 20, didakwa menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, media melaporkan tertuduh ditahan bersama kekasihnya iaitu seorang wanita berusia 18 tahun selepas terbabit dengan insiden mengejar sejauh lebih 70 kilometer.

Video kejadian berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11.30 malam kelmarin.

Ketika kejadian, anggota sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan rekreasi Adda Height, Johor Bahru sebelum mendapati sebuah kereta Proton Persona diletakkan dalam keadaan mencurigakan.

Ketika polis mahu melakukan pemeriksaan, suspek tidak memberi kerjasama dengan bertindak mengundurkan kenderaan dan merempuh kereta peronda polis, sebelum bertindak cuba melarikan diri.

Tindakan suspek melarikan diri dikejar sehingga 10 buah kenderaan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan juga Johor Bahru Utara.

Mereka berjaya ditahan di kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan sekitar Ayer Hitam selepas cuba melarikan diri.

Hasil semakan rekod lampau juga mendapati pasangan kekasih itu tiada rekod jenayah lampau atau kes berkaitan dadah sebaliknya mereka dipercayai melarikan diri selepas terkejut dihampiri kereta peronda.

Sumber: HM

Berita Berkaitan.. 

10 MPV Kejar Pasangan Kekasih Sejauh 130km Selepas Terkejut..

Sepasang kekasih yang mengelak dari pemeriksaan polis dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sejauh 130 kilometer (km) berjaya ditahan awal pagi ini.

Lelaki Didenda RM 3,000 Lepas Lari Dari Polis

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada jam 11.30 malam anggota Balai Polis Bandar Datuk Onn bersama rakan setugas membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.

Katanya, polis kemudian mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan dan semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri.

“Anggota kemudian meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS. Enam kereta peronda MPV dari IPD JBS dan empat kereta peronda MPV dari JBU yang sedang bertugas turut membantu menahan suspek.

“Suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam.

“Pemandu ialah lelaki tempatan berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 18 tahun. Hasil soal siasat awal mendapati suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat peronda MPV menghampiri kenderaannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.

Katanya, polis turut merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Januari depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu).

Sebelum ini, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat yang memaparkan beberapa MPV polis mengejar sebuah kereta di Jalan Skudai di sini.

Sumber: HM

Share.

Leave A Reply