Lelaki Didenda RM3000 Kerana Cuba Bunuh Diri

| August 4, 2020 | 0 Comments

Lelaki Didenda RM3000 Kerana Cuba Bunuh Diri | Gara-gara cuba membunuh diri dengan terjun dari balkoni rumahnya di Cheras, Sabtu lalu, seorang lelaki yang tindakannya itu tular di media sosial didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Tawfiq Affandy Chin turut memerintahkan Shahfirul Hakim Shahidan, 28, menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak bekerja mengaku bersalah atas perbuatan itu selepas cuba terjun dari sebuah flat melalui pagar balkoni rumahnya di Jalan Cheras pada 4.45 pagi 1 Ogos lalu.

Dia dihukum mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Shahfirul Hakim kerana menyusahkan banyak pihak sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Di mahkamah sama, empat rakan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sengaja menyamar sebagai anggota polis terhadap seorang peniaga pakaian.

Abu Hasan Mohd Andar, 45; Yap Kian Ang, 36; Mohd Najwan Abd Rahim, 33, dan Rachman Helmi Nordin, 33, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyamar sebagai anggota polis terhadap Zulhaffizie Zulkarnain, 23, di sebuah apartment di Jalan Robertson, Dang Wangi pada 5.15 pagi, 27 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membebaskan Mohd Najwan dan Rachman Helmi dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana tiada penjamin.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi melantik peguam.

Sumber : HMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *