Lelaki Dipenjara 12 Bulan Gara-Gara Dera Nenek Sendiri. | Melaka: “Nasihat saya, jangan kita bakar jalan kita ke syurga.”

Demikian kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh, Nazri Zol, 34, yang mengaku bersalah menampar belakang, muka serta meletakkan cekodok panas di tangan neneknya.

Beliau berkata, tertuduh amat beruntung kerana masih mempunyai nenek dan menasihatinya supaya tidak mensia-siakan warga emas itu kerana doanya mustajab.

“Kamu beruntung pada usia 34 tahun masih ada nenek. Tolong jaga perangai dan mintalah maaf kepada nenek kamu, bukan pada saya,” katanya yang menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Nazri yang mengaku kepada mahkamah kesalahan itu dilakukan kerana tidak dapat mengawal kemarahan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya, Halimah Hassan, 83, di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam, pada 21 Oktober lalu, jam 9.20 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menunjukkan pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara tertuduh yang juga anak sulung dengan ibunya selepas tertuduh menolak neneknya itu.

Tertuduh kemudian menampar belakang badan dan muka neneknya serta mengambil kuih cekodok panas dan diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.

Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’ sebelum tertuduh ditangkap pada jam 10 malam hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang menjalankan pendakwaan memohon supaya tertuduh yang tidak diwakili peguam dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.

Terdahulu tertuduh merayu hukuman ringan kerana sudah insaf dan memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Sumber : HM

 

 

BERITA LAIN

Seorang Penganggur Dijatuhi Hukuman Sampai Mati.

Seremban: Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah membunuh juruteknologi pergigian, empat tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Malik Rosli, 24, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azizul Azmi dalam penghakimannya menegaskan mahkamah tidak memberikan budi bicara, memandangkan tiada hukuman lain dalam kesalahan membunuh kecuali hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berhujah, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi dalam membuat keputusan.

Katanya, hukuman berat perlu dikenakan sebagai amaran dan pengajarannya kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kesalahan dilakukan Orang Kena Tuduh (OKT) dirancang, malah dia tergamak mengambil barang si mati dan memukulnya dengan peralatan di dalam rumah mangsa,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Haniff Hasan yang mewakili tertuduh pula berkata, kesalahan yang dilakukan bukan jenayah terancang, memandangkan tiada penglibatan sindiket dan tertuduh tidak menerima upah.

“Sebaliknya, ia berlaku akibat tekanan perasaan OKT sehingga menyebabkan dia bertindak di luar batasan sepatutnya.

“Latar belakang tertuduh perlu diambil kira di mana dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik tidak bekerja dan datang daripada keluarga miskin,” katanya.

Haniff berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 12 Februari 2018, media melaporkan tertuduh didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada 1.40 pagi, 19 Januari 2018.

Mayat Mahussin ditemui rakannya selepas 72 jam dilaporkan hilang dan tidak datang bekerja pada 22 Januari 2018.

Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru pada 30 Januari 2018.

Laporan menyebut, suspek didakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan yang menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas.

Namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran yang membawa kepada kematian mangsa.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply