Lelaki Dipenjara Tipu Ahli Keluarga Meninggal Dunia Akibat Covid.

| September 7, 2021 | 0 Comments

Lelaki Dipenjara Tipu Ahli Keluarga Meninggal Dunia Akibat Covid. | KOTA TINGGI: Seorang penyelia kontrak sebuah syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menipu rakan sekerja dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 bagi mendapatkan derma di Kompleks Bersepadu Pengerang Jumaat lalu.

Tertuduh Mohd Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 3 September pada pukul 5.20 petang bertempat di pejabat bahagian keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang menipu rakan sekerjanya dengan memberitahu ahli keluarganya telah meninggal dunia akibat Covid-19.

Susulan itu, rakan tertuduh memasukkan wang RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, Zahazan didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja pada hari sama pada pukul 6.34 petang di lokasi sama dengan `cerita sama’ sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun bank tertuduh juga sebagai derma.

Kedua-dua pertuduhan itu, Zahazan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu peguam, Nurul Hidayah Mohd Asri yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama dengan tertuduh menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat kerana mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Normadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan. Kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 bagi meraih sumbangan sejumlah RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek semalam selepas lelaki itu hadir ke Balai Polis Bayu Damai.

Menurut maklumat yang tular di media sosial, lelaki itu mendakwa berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga sejak Jun hingga bulan ini.

Lelaki itu mendakwa mempunyai lapan anak dan kehilangan isteri serta tiga anaknya pada Jun dan Julai lalu.

Pada 2 September lalu, lelaki itu mendakwa lima lagi anaknya bersama ibu, kakak dan abang ipar serta dua anak mereka turut meninggal dunia.

Mesej tular itu turut memuatkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan.

Sumber : UM

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *