Lelaki Ditahan Slps Hempas Besi Pemberat 20kg Atas Kepala Rakan. | DARWIN: Seorang lelaki dipenjara selepas didapati bersalah kerana sengaja mencederakan seorang rakannya dengan besi pemberat seberat 20 kilogram.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian itu berlaku di sebuah gim berhampiran Darwin hampir 18 bulan lalu selepas Shabe William Ryan, 33, mengaku bersalah di mahkamah tinggi ketika perbicaraan.
Berdasarkan dokumen mahkamah, mangsa dan tertuduh melakukan senaman di Gim Next Level di Palmerston di tenggara Darwin pada waktu awal pagi, Oktober 2020.
Lapor NT News, rakaman CCTV yang dimainkan di mahkamah menunjukkan Ryan mengangkat besi pemberat 20 kilogram dan berjalan menuju mangsa yang ketika itu berbaring sambil mengangkat dumbel.
Tiba-tiba, Ryan seperti mahu tergelincir dan menjatuhkan besi pemberat tersebut ke atas kepala mangsa menyebabkannya dia terjatuh.
Selepas insiden itu, Ryan yang seperti mengalami kecederaan pada buku lalinya berlalu pergi dan membiarkan mangsa berlumuran darah.
Tidak lama kemudian, Ryan kembali untuk membantu mangsa dan menghubungi ambulans.
Mangsa disahkan mengalami kecederaan parah pada bahagian tengkorak, luka di kening, muka bengkak dan perlu mendapatkan rawatan psikologi kerana trauma dengan insiden yang berlaku.
Hakim John Burns menyifatkan tindakan Ryan sebagai ‘amat berbahaya’ dan dipenjara selama 19 bulan.
Mahkamah juga dimaklumkan Ryan dan mangsa merupakan rakan baik dan tiada motif untuk dia mencederakannya.
Namun, Ryan mengakui dia memang sengaja mencederakan mangsa tanpa menjelaskan motifnya.
“Mangsa sangat tidak berupaya selepas diserang, tidak mampu untuk melindungi dirinya kerana dia tidak percaya kamu akan menyerangnya begitu.
“Apa yang dilakukan oleh kamu adalah sangat berbahaya dan tidak seharusnya berlaku,” jelas Burns.
Lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 bulan sebelum diberikan parol.
SUmber : UM