Lelaki Ditemui Rentung Dalam Kebakaran Rumah

| September 14, 2020 | 0 Comments

Lelaki Ditemui Rentung Dalam Kebakaran Rumah | “Saya dimaklumkan arwah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan cuba memadam api namun dia tidak sempat keluar dan terperangkap di pintu hadapan rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, isteri dan dua anaknya berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah berkenaan ketika api sedang marak,” kata Abd Rahman Bakar, 75.

Abd Rahman adalah bapa saudara Roslan Abu Bakar, 56, yang ditemui rentung di hadapan pintu dalam kebakaran di rumahnya di Taman Malik, di sini pada 5.30 pagi tadi.

Mangsa yang rentung adalah kakitangan Syarikat Air Darulaman (SADA) di Alor Setar, di sini.

Isteri mangsa, Muzaini Mustafa, 52, yang berkerusi roda akibat masalah buah pinggang dan dua anak mereka, Mohamad Ridwan Roslan, 17, dan Siti Aisyah, 15, berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah.

Abd Rahman berkata, dia tidak sedap hati apabila terdengar bunyi siren bomba di hadapan rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, dia tidak sedap hati kerana bimbang ada kejadian besar ketika penduduk di kawasan Kota Setar masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu disebabkan penularan Covid-19.

“Tidak lama kemudian isteri saya menangis memberitahu rumah Roslan (arwah) terbakar namun tidak tahu nasib yang menimpa.

“Sebaik sampai di sini, saya dapat tahu arwah gagal diselamatkan dan meninggal dunia dalam kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Abd Rahman berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah dua hari lalu ketika mangsa datang ke rumahnya di Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah untuk meminjam penebuk lubang untuk memasang cermin bilik air rumahnya di sini.

“Arwah yang sebelum ini ceria kelihatan pelik apabila tergesa-gesa nak balik rumahnya. Dia ada beritahu niatnya untuk menunaikan umrah sekali lagi namun tidak sempat disebabkan masalah kesihatannya selain masalah Covid-19 sekarang ini.

“Mungkin dia tahu ajalnya akan tiba sebab itu tiba-tiba dia ada sebut nak menunaikan umrah kerana tidak ada perancangan sebelum ini,” katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Alor Ibus, Kuala-Kedah-Yan selepas selesai urusan di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, adik mangsa, Rosliza Abu Bakar, 36, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya adalah Jumaat lalu sewaktu mangsa datang untuk menziarah ibu mereka di Kuala Kedah.

Katanya, ibu mereka, Fatimah Bakar, 76, sepatutnya menjalani pembedahan membuang selaput mata di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar tetapi terpaksa ditunda kerana PKPD.

“Arwah datang dan tanya berhubung emak dan dia beri sumbangan sedikit untuk pembedahan itu tapi terpaksa ditunda kerana Covid-19.

“Dia langsung tak nampak sebarang perubahan malah dia kelihatan biasa saja ketika datang ke rumah dan tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

Rosliza berkata, sejak arwah bapa mereka meninggal, Roslan bertanggungjawab menjaga keluarga terutama ibu mereka yang sudah uzur.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya kerana dia seorang abang yang baik dan susah mahu cari macam dia,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *