Lelaki Jatuh Bumbung Ketika Pecah Rumah

| November 9, 2020 | 0 Comments

Lelaki Jatuh Bumbung Ketika Pecah Rumah | Johor Bahru – Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah cedera akibat terjatuh dari bumbung di Taman Daya, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, suspek yang berusia 28 tahun terjatuh di kawasan parkir rumah tersebut sebelum pihak polis menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, sebelum itu kehadiran suspek disedari penduduk lalu menghubungi Balai Taman Setia Indah untuk bantuan.

“Bertindak atas maklumat, pasukan polis Balai Taman Setia Indah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati satu lelaki berada di atas bumbung.

“Polis menangkap suspek selepas terjatuh dan hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu mendapati tiada barang salah ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Video berdurasi 46 saat yang melihatkan suspek sedang memanjat bumbung sebelum jatuh dengan anggota polis berada di depan rumah tersebut menjadi tular dalam media sosial sejak semalam.

Mohd Padzli berkata, suspek kini berada di hospital untuk menerima rawatan dan semakan rekod jenayah mendapatinya mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod kes dadah.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber : SH

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *