Lelaki Kemurungan Cuba Bunuh Diri Dipujuk Anggota Bomba | Seorang lelaki yang mengalami masalah kemurungan telah mengurungkan dirinya di dalam bilik di sebuah rumah yang terletak di Kampung Keda Sungai Buluh, Serdang. Pihak bomba telah mengambil masa selama 45 minit untuk memujuk lelaki itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.22 malam.
Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang tiba di lokasi jam 9.37 malam yang diketuai pegawai operasi, Ismail Yatim. Sebaik sahaja tiba mereka mendapati seornag lelaki yang sedang kemurungan sedang berkurung di dalam bilik dan cuba untuk membunuh diri. Namun lelaki itu berjaya dipujuk tanpa berlaku sebarang kecederaan.
Lelaki itu telah diserahkan kepada pihak polis sebaik sahaja berjaya diselamatkan untuk tindakan lanjut. Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 10.30 malam.
Sumber: Harian Metro